Friday, February 3, 2012

Duri jalanan


Peace Upon You. Sejujurnya saya sudah menyimpan draft post kali ini selama sebulan untuk menunggu hari Keputeraan seorang pemimpin ummah yang tidak perlukan title Raja untuk memerintah, seorang penerang Jalan hidup melalui kata-kata, perbuatan serta apa yang disandarkan kepada Baginda. Ini adalah post berkaitan seorang kekasih Allah yang sangat mendalami apa itu makna menjadi hamba kepada yang Maha Esa.

Sebulan yang lalu saya diberikan tugas untuk menjadi moderator dalam sebuah usrah yang bertajuk 'Cinta kepada RasulAllah'. Tugas itu amat berat bagi saya walaupun hanya berkongsi cara mencintai ataupun info berkenaan RasulAllah Nabi Muhammab S.A.W.

Apa yang menakutkan saya ialah jika saya tidak melaksanakan tugas tersebut dengan baik, akhirnya mereka yang mendengar akan merasa jauh dari rindu RasulAllah. Niat saya hanya satu, apabila melangkah keluar dari usrah, kesemua ahli terdetik hati mereka untuk mencari atau mengenali siapa itu RasulAllah.

Banyak yang bermain di fikiran, bagaimana cara untuk menarik minat ahli usrah lain untuk mendekatkan diri dengan RasulAllah seterusnya mencintai banginda. Alhamdulillah saya diberikan peluang untuk ke Tanta bagi bertawassul sebelum menjadi moderator dalam usrah saya.

Pagi sebelum bertolak ke tanta, saya berjalan dari rumah untuk ke tempat van. Dalam perjalanan ke tempat berkumpul di hadapan saya ada seorang pak cik yang tangannya penuh dengan barang kemudian di berjalan dan jubahnya tersangkut di dahan pohon berduri yang baru dipotong.Kalau nak turun kan barang-barang dari tangan, lagi banyak duri yang kan melekat di baju pak cik itu. Saya pon menolong untuk membuang pohon berduri tadi kemudian pak cik tersebut mengatakan 'Syukran tolong saya, membuang duri di jalan itu pon adalah sunnah'. tersentak saya seketika. hadis berkaitan itu sudah saya belajar semasa di sekolah menengah.

Sabda Rasulullah S.A.W.

عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ الله ُعَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ الله ُصلى الله عليه وسلم كُلُّ سُلاَمَى مِنَ النَّاسِ عَلَيْهِ صَدَقَةٌ كُلَّ يَوْمٍ تَطْلُعُ فِيْهِ الشَّمْسُ، تَعْدِلُ بَيْنَ الإثْنَيْنِ صَدَقَةٌ ، وَتُعِيْنُ الرَّجُلَ فِي دَابَّتِهِ فَتَحْمِلُهُ عَلَيْهَا أَوْ تَرْفَعُ لَهُ عَلَيْهَا مَتَاعَهُ صَدَقَةٌ ، وَالْكَلَمَةُ الطَّيِّبَةُ صَدَقَةٌ، وَبِكُلِّ خُطْوَةٍ تَمْشِيْهَا إِلَى الصَّلاَةِ صَدَقَةٌ ، وَتُمِيْطُ الأَذَى عَنِ الطَّرِيْقِ صَدَقَةٌ .

( رواية البخاري )

Maksudnya : Dari Abu Hurairah r.a. katanya : Sabda Rasulullah SAW : Setiap sendi ditubuh badan manusia menjadi sedekah untuknya pada setiap hari matahari terbit. Kamu melakukan keadilan di antara dua orang (yang berselisih faham) adalah sedekah. Kamu membantu orang menaiki kenderaan atau kamu mengangkat barang-barang untuknya ke dalam kenderaan adalah sedekah, perkataan yang baik adalah sedekah. Setiap langkah kamu berjalan untuk menunaikan solat adalah sedekah dan kamu membuang perkara-perkara yang menyakiti dijalan adalah sedekah.

Pengajaran yang saya dapat ambil dari peristiwa ini ialah, beramallah dengan hadis yang kita ketahui walaupun sedikit. Jika kita tahu beratus hadis sekalipon namun tidak beramal, tiada guna..

Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya)

Surah Al-Baqarah : 255

Dalam surah Al-baqarah ayat 225 ada mengatakan tiada yang dapat memberi syafaat selain diberi izin oleh Allah. Antara yang diizikan Allah untuk memberi syafaat ketika di Padang Masyar nanti ialah penghulu kita iaitu Nabi Muhammad S.A.w. Tapi apakah tanda yang mengatakan kita ini umat baginda? Adakah kita mengamalkan sunnah Baginda, pernahkah kita berselawat kepadanya? Mungkinkah air mata ini menitis kerana rindukan baginda? Terlintas kah di hati yang perlunya kita mencintai baginda lebih dari sekalian manusia?

Owh..jauhnya aku dari baginda. Sollu Alan Nabi

No comments: