Saturday, May 29, 2010

kenapa berdiam diri ajnabi?

Amalan memberi salam kepada sesama Islam adalah suatu yang sangat dituntut oleh Islam, kerana salah satu hak sesama Islam adalah menyebarkan salam. Dengan mengucapkan salam itu dapatlah kita mengeratkan lagi tali persaudaraan, mendekatkan yang jauh dan melahirkan rasa kasih sayang. Walaupun ucapan salam itu pendek saja, tetapi isi dan maksudnya adalah merupakan doa bagi mendapatkan kesejahteraan dan keselamatan. Merujuk dalil sama ada daripada al-Quran atau al-Hadis yang menggalakkan umat Islam memberi salam sesama Islam, ia adalah dalam bentuk yang umum serta tidak membezakan lelaki dan perempuan.

Antaranya firman Allah bermaksud : “Apabila kamu diberi penghormatan (dengan ucapan salam) hendaklah kamu menjawab dengan lebih baik atau jawab yang seumpamanya”. Al-Nisa’ ayat 86.

Mengikut kaedah syarak sesuatu arahan atau hukum daripada Allah dan RasulNya adalah merangkumi lelaki dan perempuan kecuali dalil tertentu yang mengkhususkan sesuatu hukum itu kepada lelaki atau perempuan sahaja.

Dalam sahih al-Bukhari disebutkan bahawa Ummu Hani’ binti Abu Talib berjumpa Rasullah s.a.w. pada tahun pembukaan Makkah dan terus memberi salam kepada baginda, lalu baginda bertanya siapa itu? Fatimah memberitahu bahawa yang memberi salam itu ialah Ummu Hani’ dan Rasullah pun menjawab salamnya.

Umar al-Khattab juga pernah memberi salam ketika berjumpa dengan beberapa orang wanita sambil berkata: “Aku adalah utusan Rasullah kepada kamu sekelian.”

Bagaimanapun, kebanyakan ulama’ berpendapat bahawa lelaki boleh memberi salam kepada perempuan yang sudah berumur dan tidak kepada perempuan yang masih gadis atau muda.

Semua ini adalah pendapat atau pandangan ijtihad kalangan ulama’ berdasarkan kaedah “menutup pintu mungkar”. Namun terdapat beberapa hadis dan amalan di kalangan sahabat serta tabiin mengenai memberi salam lelaki kepada wanita. Antaranya hadis yang diriwayatkan oleh Jarir yang bermaksud: “Sesungguhnya Rasulullah berjalan dan berjumpa sekumpulan wanita lalu baginda memberi salam kepada mereka.”

Begitu juga dengan apa yang dilakukan Umar al-Khattab dan Ibnu Umar. Ibnu Aun pernah bertanya kepada Ibnu Sirin: “Bolehkah saya memberi salam kepada seorang perempuan?” Jawabnya: “Tidak ada salahnya”. Demikianlah beberapa pendapat dan pandangan kalangan ulama’ mengenai hukum lelaki memberi salam kepada perempuan dan sebaliknya.

Satu hal yang mesti difahami, iaitu ucapan salam adalah satu ibadat, bukan sebagai satu ucapan atau kata-kata biasa yang diucapkan seseorang. Justeru, ia hendaklah diucapkan dengan hati yang ikhlas serta bertujuan merapatkan hubungan persaudaraan bukan sebaliknya. Kalangan ulama’ yang mengharuskan pun berpendapat bahawa wanita tidak wajib atau tidak perlu menjawab salam lelaki jika ucapan itu bukan dengan niat yang baik dan ikhlas.

Kesimpulannya, berpandukan pendapat jamhur (kebanyakan) ulama’ yang berasaskan hadis dan amalan Rasullah s.a.w. serta kalangan sahabat bahawa seorang, lelaki boleh memberi salam kepada wanita, jika sekiranya ia tidak menimbulkan sebarang fitnah.

Wallahu A’alam

sumber: PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

1 comment:

.traCtus.soLitaris. said...

teringat lagu assalamualaikum..
"give the best salam, spread it everywhere..Allah gives you peace, for wherever you make"
"assalamualaikum is the best salam"