Islam sangat mementingkan ilmu. Dari sudut menuntut ilmu, berkongsi ilmu seterusnya mengamalkan ilmu yang diperolehi amatlah dititik beratkan dalam Islam. Selaraslah dengan hadis berikut :
Dari Abu Bakrah ra., Dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Jadikanlah dirimu orang alim atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pelajaran agama, atau pun orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut); dan janganlah engkau menjadi (dari) golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa."
Kita selalu dengar perkataan ‘santapan rohani’ iaitu perkongisan ilmu yang dapat menambahkan keimanan seseorang terhadap Allah. Apa yang penting tentang santapan rohani ini kerana kita semua adalah manusia, tidak terlepas dari melakukan dosa. Oleh itu perlulah kita selalu diingatkan oleh mana-mana pihak tentang semua perkara tentang Pencipta kita.
Semasa singgah 1 hari semalam di Penang, saya tertarik melihat betapa bersepahnya kedai-kedai nasi kandar. Kesemua mereka cuba menarik pelanggan dengan papan tanda seperti “Original Recipe” ataupun ‘Resepi turun temuran’ da nada juga yang mempertaruhkan tahun kedai mereka dibuka seperti ‘Sejak 1945’.
Kini di Malaysia terdapat banyak pemuda-pemuda yang berjuang di atas jalan jihad untuk menyampaikan Islam kepada setiap rakyat. Ada sesetengah pihak terlalu bersifat assabiah dengan Jemaah mereka sehinggakan niat mereka yang hanya untuk menyampaikan ilmu tentang Yang Maha Esa telah menjadikan mereka taksub dengan diri mereka sendiri dan menyuruh pengikut mereka untuk hanya bergantung harap kepada mereka dari segi sumber ilmu, sumber rujukan mahupun kebajikan. Mereka ini boleh kita andaikan seperti kedai-kedai nasi kandar yang berada di Penang, setiap dari mereka menyediakan nasi kandar, dan cuba mengatakan mereka dapat menyediakan nasi kandar yang terbaik.
Bagi pendapat saya, kita sebagai pelanggan yang mahukan ilmu ataupun santapan rohani islamiah, kita berhak untuk mengaut segala macam juadah rohani yang dihidangkan oleh setiap Jemaah-jemaah asalkan mereka tidak bercanggah dengan Al-Quran dan Sunnah. Jadi kepada sesiapa yang sangat laparkan santapan rohani, kautlah segala ilmu yang ada demi mendekatkan diri kita dengan Allah. Akhirnya, jangan berputus asa dalam menuntut ilmu!
Dari Abu Musa Al-Asy'ari r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Bandingan apa yang Allah utuskan aku membawanya dari hidayat petunjuk dan ilmu pengetahuan, adalah sama seperti hujan lebat yang menimpa bumi, maka terdapat sebahagian dari bumi itu tanah yang subur, yang menerima dan menyedut air hujan itu, lalu menumbuhkan rumput dan tumbuh-tumbuhan yang banyak dan terdapat sebahagian daripadanya tanah-tanah yang keras yang hanya menampung air (tidak menyedutnya), maka Allah menjadikan dia bermanfaat kepada manusia, lalu mereka minum dan memberi minum serta mereka menanam (dan menjirus tanaman mereka); dan terdapat pula sebahagian daripadanya tanah-tanah yang lain, yang keadaannya hanyalah tanah-tanah rata yang keras yang tidak lekat air (sedikit pun), dan tidak dapat menumbuhkan rumput. Demikianlah orang yang mempunyai fahaman yang teliti dalam hukum-hukum agama Allah dan (bandingan orang) yang beroleh manfaat dari apa yang Allah utuskan aku membawanya, lalu ia mengetahuinya dan mengajarkannya kepada orang lain dan juga bandingan orang yang tidak hiraukan langsung (ilmu yang aku sampaikan) itu dan tidak mahu pula menerima pertunjuk Allah yang aku diutuskan membawanya."
No comments:
Post a Comment